BOLEHKAH SAYA BERJAYA?

Thursday, July 22, 2010

“ Usaha tangga kejayaan” kita umpama meniti sebatang pokok yang hampir patah, di kala realiti yang kita benar-benar impikan bertukar menjadi ilusi. Janganlah kita mudah berputus asa ataupun cepat mengalah, tak usahlah menyesali kegagalan yang kita lalui kerana kegagalan itu mengajar kita supaya memperbaiki kelemahan diri. Binalah satu semangat yang tinggi untuk terus berjuang, kita harus bangun dan memulakan kehidupan yang baru, katakanlah pada diri kita bahawa “ saya tidak akan kalah apabila saya berada di bawah, tetapi saya akan kalah apabila tidak bangun semula”. Sebenarnya kita jauh lebih hebat daripada apa yang kita sangkakan, namun kitalah yang menjadi penghalang kepada kejayaan kita sendiri.
Di kala kita jatuh, kita ingatlah jasa ibu-bapa kita, mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk memastikan kita berjaya. Keringat yang membasahai tubuh mereka menandakan mereka benar-benar ingin melihat kita berjaya. Tidakkah kita berasa kasihan bila melihat mereka sanggup mengabaikan tugasan mereka yang lain. Janganlah kita menghadiahkan mereka sebuah kehampaan dan kekecewaan. Jangan biar mereka meratap dan menangis kerana kegagalan kita. Adakah kita sanggup melihat mereka terkilan? Untuk berjaya kita perlu bertindak, kita bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kejayaan kita, sama ada kita memperolehi kecemerlangan, kesederhanaan atau kegagalan itu adalah pilihan kita sendiri. Marilah kita sama-sama terus berlari, melangkah dan terus melangkah janganlah menunggu sehingga kesempitan, tapi marilah kita berusaha selagi ada kesempatan. Kita adalah insan yang sama, dikurniakan dengan akal dan fikiran yang serupa. Mengapa kita tidak boleh berjaya? Kemenangan atau kejayaan itu dicipta oleh insan yang sama dengan kita yang berusaha dengan luar biasa. Oleh itu marilah kita tanam sikap yang positif untuk berjaya. Janganlah kita hanyut dan tenggelam dibawa oleh arus kelalaian kita sendiri. Masa untuk kita berjaya amat terbatas, sandarkanlah usaha dan bertindaklah sekarang.
Sikap merupakan kunci utama kepada kejayaan seseorang. Jika bermatlamat untuk mencipta kejayaan, kita kena paksa diri dan menanam minat yang mendalam terhadap sesuatu kerja yang dilakukan. Semua perkara bukan senang, tetapi bukan juga mustahil untuk kita lakukan, usaha yang disertai dengan kesungguhan pasti akan membuahkan hasil, cuma kita kena tanya diri kita sendiri adakah kita sanggup berubah? Janganlah kita biarkan kegagalan itu mengatasi kita, bukankah kita lebih gagah? Bukankah kita seorang pahlawan? dan bukankah kita seorang yang perkasa? Janganlah kita mudah mengalah, marilah kita sama cuba dan terus mencuba tanpa mengenal erti penat lelah tanpa mengenal erti putus asa.
Tidakkah kita berasa kasihan terhadap diri kita sendiri? Kita sebenarnya inginkan kejayaan tetapi kita tidak memberikan peluang kepada diri kita untuk mencipta kejayaan. Bilakah lagi kita mahu buktikan kepada orang lain, kepada diri kita sendiri bawaha kita sebenarnya boleh berjaya, kita kena buat pilihan satu antara dua, sama ada sakit kerana mendisplinkan diri atau sakit kerana menyesal. Untuk berusaha kita hanya perlu ada perngorbanan, kesungguhan dan untuk berjaya kita perlu mengubah diri. Pepatah ada mengatakan “ rajin punca kejayaan dan malas punca kegagalan”.

Terkini

UMPAPEH GARAGE INGIN MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA PENGUNJUNG YANG SUDI MENINGGALKAN KOMEN DALAM USAHA UNTUK PERTINGKATKAN LAGI BLOG INI... TERIMA KASIH DAN SALAM KENANGAN