Pandangan....

Thursday, October 4, 2012


ALLAH memerintahkan hamba-Nya yang beriman supaya menahan pandangan dan memelihara kemaluan. Perintah ini ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud: ?Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.? (Surah an-Nur, ayat 30).
Dalam ayat di atas, ada dua peringatan yang ingin dikhabarkan oleh Allah iaitu hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan dalam hal yang ditegah oleh Allah.
Mereka hendaklah menahan pandangan daripada perkara diharamkan. Janganlah melihat kecuali kepada hal dibolehkan untuk dilihat.
Jika tanpa sengaja pandangan tertuju kepada perkara yang diharamkan untuk dilihat, maka hendaklah segera memalingkan pandangannya. Ia seperti dinyatakan Rasulullah SAW kepada Saidina Ali bermaksud: ?Wahai Ali, janganlah ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua. Kerana pandangan pertama untukmu (dimaafkan) dan pandangan kedua tidak untukmu (tidak dimaafkan).? (Hadis riwayat Abu Daud).
Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa apabila kita terpandang kepada perkara yang haram, maka dilarang mengulangi pandangan itu. Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa pandangan yang kedua itu adalah berdosa. Tetapi, pandangan yang pertama itu boleh dimaafkan.
Allah memerintahkan hamba-Nya memelihara pandangan daripada perkara yang haram kerana dengan pandangan manusia akan terjerumus kepada kemaksiatan kemaluan.
Bermula dengan pandang memandang yang dilarang itu, seseorang itu pula mahu berbicara atau mendengar suara seseorang. Apabila suka menyukai di antara dua insan, tidak mustahil mereka akan bertemu dan melakukan maksiat yang akhirnya terjebak kepada perzinaan.
Keadaan ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: ?Setiap anak Adam ditulis baginya bahagian daripada zina. Ia pasti melakukannya tanpa boleh menghindari, zina mata adalah memandang, zina lisan adalah berbicara, zina telinga adalah mendengar, zina tangan adalah menggunakannya, zina kaki adalah melangkah, jiwa berharap dan berhasrat, kemaluanlah yang membenar atau mendustakannya.? (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah memelihara anggotanya supaya jangan sampai terdedah kepada kemaksiatan yang boleh mengheret kepada perzinaan.
Mereka yang berjaya memelihara setiap anggota daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah dan mengarahkannya kepada perkara yang disuruh oleh Allah adalah orang yang bertakwa kepada-Nya. Imam al-Ghazali menegaskan orang bertakwa itu ialah mereka yang melaksanakan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran anggota tubuh badan.
Justeru, umat Islam perlu menggunakan anggota mereka sebaik mungkin sebagai menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah di atas anugerah yang tidak ternilai itu.
Bagi mereka yang diberikan sifat yang sempurna oleh Allah, perlu membuat perbandingan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Ia untuk menilai pemberian Allah ke atas mereka dengan melihat orang yang bisu, pekak, buta dan seumpama yang tidak diberi oleh Allah kesempurnaan pancaindera berbanding dirinya. Dengan itu mereka dapat menjaga serta menggunakan anugerah anggota dan pancaindera itu sebaik mungkin.
Mereka yang menjaga dan menggunakan anggota dan pancaindera dengan baik, Rasulullah SAW menjamin tempatnya di syurga. Rasulullah SAW bersabda: ?Barang sesiapa menjamin bagiku di antara dua janggutnya (mulutnya) dan dua kakinya (kemaluan), nescaya aku menjamin untuknya syurga.? (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)
Bagi sesiapa yang memelihara pandangannya, maka Allah akan membalasnya dengan kemanisan dalam amal ibadat mereka. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: ?Tidaklah seseorang Muslim melihat kecantikan seorang wanita, kemudian dia menundukkan pandangannya, melainkan Allah akan menggantikannya dengan kemanisan dalam beribadah.? (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Terkini

UMPAPEH GARAGE INGIN MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA PENGUNJUNG YANG SUDI MENINGGALKAN KOMEN DALAM USAHA UNTUK PERTINGKATKAN LAGI BLOG INI... TERIMA KASIH DAN SALAM KENANGAN